Tuesday 27 February 2018

Kurma Ayam


Muhammad memang cerewet bab makan dan adakala dia makan dan adakalanya dia tak suka. Tapi kalau gulai kurma ayam atau daging yang diletak ubi kentang, laju je dia. Mana taknya, masak kurma tak pedas tapi lemak bersantan dan rasa rempah kurma yang menaikkan selera, perghhhh.


Bahan-Bahannya mudah sahaja
Seekor ayam dipotong sedang 
250 ml santan kara yang dicairkan nisbah 1:1
1 biji bawang besar dikisar
5 biji bawang kecil dikisar
3-4 ulas bawang putih dikisar
4 sudu besar rempah kurma
3 biji ketang dipotong dadu
sekeping asam gelugur
Sebiji lobak merah dipotong  dadu (kasar)
serba sedikit rempah empat beradik (bilangan ganjil)



Mula-mula tumis bahan kisar dan masukkan rempah 4 beradik(api menumis jangan besar). Tumis sehingga pecah minyak.



Masukkan rempah kurma dengan sedikit air dan tumis hingga pecah minyak



Masukkan ayam dan mesrakan.



Masukkan 1 liter air dan renihkan.



Masukkan ubi-ubian dan sekeping asam keping dan renih lagi hingga kentang empuk.


Sediakan santan



Masukkan santan dan terus mereninh dengan api perlahan sehingga santan masak. Perasakan dengan 2 sudu besar garan dan sesudu gula.


Tu dia, dah siap bau pun harum semerbak. Lapor dah ni


Resepi mudah hidangan seisi keluarga. Kalau dekat kampung dulu, makan gulai kari dan kurma mesti letak kicap sedikit. Terangkat.








Saturday 24 February 2018

Bihun Goreng dan Ikan Celup Tepung

COMBO HARI INI


Hari ni tak nak makan nasi, duk pikir kelmarin beli ikan Pelaling saiz kecil dan memang berhajat nak makan ikan celup tepung, apalagi buat Bihun Goreng le padanan yang sesuai selain nasi. Mula-mula masak bihun lepas tu goreng ikan, kena rancang flow memasak awal-awal.




Bahan-bahan Bihun Goreng

4-5 biji bawang kecil (dikisar)
Segenggam udang kering (dikisar)
2-3 ulas bawang putih (dikisar)
Sebungkus Bihun yang direndam
1 biji parutan lobak merah
(kalau nak pakai sayur lain pon boleh, ini je ada dalam peti ais)
Semangkuk kecil hirisan daging
2 ketul kek ikan yang dihiris memanjang
2 sudu besar kicap manis
Sesenduk sos cili ( kalau dicampur sedikit cili kisar pon boleh)
2 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos ikan
sesudu garam 



Tumis bahan kisar hingga sedikit garing dan masukkan daging serta kek ikan



Kemudian masukkan parutan lobak dan masukkan kesemua sos dan kicap, tumis sebentar


Masukkan 2 cawan air dan renih sebentar sehingga daging masak dan kuah sudah agak pekat sedikit, masukkan garam.



Masukkan bihun dan goreng hingga bihun masak, kering dan lembut.
Dah siap, kalau ada daun sup atau daun bawang, bolehlah tabur dengan sedikit bawang goreng.


Lepas bihun siap, nak masak partner dia pula. Ikan celup tepung. Bahan teramat lah senang.


Bahan-Bahan
Ikan bersaiz kecil ( Pelaling, Kembung, Sardin, Selar)
3 sudu besar Tepung Goreng Bestari ( terbaik)
Air secukupnya untuk membancuh tepung ( tidak pekat dan tidak cair, pandai pandai le)



Pastikan minyak untuk menggoreng betul-betul panas. Celup ikan dalam adunan tepung Bestari dan terus digoreng rendam di atas kuali (pakai minyak banyak sikit)


Ikan duk mandi minyak, Cik bihun dah menanti di sebelah tu.



Tu dia, mempelai dah siap, tinggal nak bersanding je lagi

Haaa, merpati dua sejoli, berkepit lagi tu dalam pinggan. Teman jamah dulu ye. Bismillah.













Thursday 22 February 2018

Rendang Pedas Ayam


Hari ni buat rendang pedas ayam dengan pulut kuning untuk bawak pergi tempat kerja, sedekah Jumaat. Rendang ni setiap kali raya akan dimasak oleh mak atau makcik di kampung. Bapak rajin masak rendanhg ni, selalu gu dia makan dengan pulut jagung tanak. Memang terangkat.

 

Bahan-bahannya senang je.

Resepi untuk 2 ekor
2 ekor ayam dipotong kecil
2 biji bawang besar dan 6 biji bawang merah kecil (ditumbuk kasar)
7 batang serai (ditumbuk kasar)
2 hiris halia dan lengkuas
1 liter santan kotak kara (dicairkan dengan air, nisbah 1:1)
3 sudu besar cili kering kisar ( nak pedas boleh letak banyak atau masukkan cili api)
3 sudu besar garam
1 sudu besar gula
2 helai daun kunyit dimayang



Lambung semua bahan dalam kuali, masukkan santan dan mula masak api perlahan (kalau takut ayam hancur sementara menunggu kuah kering, boleh asingkan ayam atau masak bahan cecair dahulu sehingga sebati dan menggelegak, baru masukkan ayam)


Masukkan daun kunyit hiris dan masak hingga kuah mengering. Jaga api, pakai api perlahan.



Akhirnya selepas 2 jam lebih, rendang dah siap. lepas ni nak buat pulut kuning pula.






Sunday 11 February 2018

Daging Merah


Kalau makan Nasi Goreng USA mesti ada daging merah. Kegemaran juga ni. Hari ni nak masak daging merah. Senang je. Bahan tak banyak sangat.


Bahan-Bahannya
Sekilo daging yang direbus dengan pewarna merah (kemudian dihiris nipis)
3-4 biji bawang besar di mayang kasar
4 ulas bawang putih diketuk/tumbuh kasar
Sebiji cili hidup dihiris
4 biji cili padi dihiris
2 sudu besar cili kisar
Minyak untuk menumis
Sesudu besar sos tiram, sos cili, sos tomato dan sos ikan
Garam dan gula secukup rasa
Daun ketumbar dipotong kasar



Mula-mula, tumis bawang putih hingga kekuningan dan masukkan daging yang dihiris dan tumis sebentar.


Tumis sebentar dan biarkan garing sedikit.



Masukkan 2 sudu besar cili kering kisar dan tumis sebentar dan masukkan semua sos. Gaul sebati. Masukkan sedikit air (siapa suka berkuah sikit, lebihkan airnya)



Akhir sekali, masukkan sesudu gula dan garam diikuti bahan hiris dan digaul rata buat seketika. Dah siap. Sofia kata sedap, duk meratah pulak tu. Sesekali masak resepi daging mudah macam ni anak-anak suka.


Malam ni makan satu lauk je, digandingkan pula dengan salad cicah budu. Best mengkome.






Kurma Ayam

Muhammad memang cerewet bab makan dan adakala dia makan dan adakalanya dia tak suka. Tapi kalau gulai kurma ayam atau daging yang dilet...